Rabu, 17 April 2013

Teori Pengurusan Saintifik dan Fungsi & Prinsip Pengurusan

TEORI PENGURUSAN SAINTIFIK (Frederick Taylor)

 

Frederick Taylor mengeluarkan prinsip pengurusan saintifik seperti berikut:
  1. Penentuan pergerakan: Membina kaedah saintifik dengan menentukan pergerakan dan perjalanan kerja yang dijalankan supaya lebih efisien. Dengan penentuan ini, kerja dapat disiapkan dengan lebih cepat dan dengan peratusan atau kadar yang lebih tinggi.
  2. Pengkhususan kerja: Frederick Taylor telah memikirkan tentang pentingnya seorang pakar di setiap bahagian. Misalnya, seorang mandur (sebagai ketua) dikehendaki bertanggungjawab di dalam bahagian pembaikan mesin, seorang di bahagian perjalanan mesin, seorang di bahagian pemeriksaan dan lain-lain. Dengan cara yang demikian, pekerja dapat memahirkan diri dalam bidang yang khusus.
  3. Perancangan dan penjadualan yang rapi: Perancangan dan penjadualan aktiviti organisasi perlu untuk memastikan penggunaan sumber manusia dan bahan pada tempat dan masa yang sesuai.
  4. Pemilihan dan pengambilan kakitangan yang rapi: Frederick Taylor percaya bahawa pemilihan dan pengambilan kakitangan perlu dibuat dengan teliti untuk menjamin kakitangan yang diambil itu dapat menjalankan tugas seperti yang dikehendaki. Di dalam proses pengambilan ini, ujian tertentu hendaklah diadakan untuk menguji kebolehan dan keupayaan seseorang itu. Proses pemilihan yang teliti beserta dengan program latihan tertentu dapat menjamin prestasi yang tinggi di dalam menjalankan tugas.
  5. Insentif upah: Program upah yang diadakan bertujuan membayar upah mengikut jenis kerja yang dibuat. Ini bermakna program upah itu menyediakan kadar upah mengikut jenis kerja. Bonus melalui skim perangsang juga diberikan kepada pekerja yang dapat menyiapkan kerja lebih awal dari jangka masa yang ditetapkan.
Pandangan Taylor tentang motivasi pekerja telah memberi pengaruh besar sepanjang abad hingga ke hari ini. Kepercayaan Taylor bahawa manusia adalah rasional dan akan membuat pilihan ekonomi berdasarkan tahap ganjaran kewangan telah membawa kepada perancangan sistem bayaran dimana jenis usaha yang diberi adalah berkait rapat dengan kadar ganjaran yang ditawarkan. Oleh itu, terdapat kritikan yang kuat terhadap teori Taylor yang dianggap melayan manusia seperti mesin dan menganggap bahawa para pekerja dipenuhi oleh wang saja. 


HENRI FAYOL (Prinsip & Fungsi Pengurusan)

 
Henri Fayol (1841-1925)  telah diberi gelaran "Bapa Pemikiran Pengurusan".
Pertama, Fayol telah membezakan antara kemahiran teknikal dengan kemahiran pengurusan. Keduanya, beliau telah mengenal pasti fungsi-fungsi pengurusan yang khusus dan ketiganya, beliau telah mencadangkan empat belas prinsip pengurusan.
 
Kemahiran Teknik dan Kemahiran Pengurusan
Fayol membahagikan pengurusan kepada enam kumpulan:
1. Teknik: Pengeluaran dan pembuatan.
2. Komersial: Pembelian, jualan dan pertukaran (pemasaran).
3. Kewangan: Penggunaan modal dengan optimum.
4. Keselamatan: Melindungi harta dan manusia.
5. Perakaunan: Kos, kunci kira-kira, statistik, mengira stok.
6. Mengurus: Perancangan, penyusunan, pengarahan, penyelarasan, dan kawalan.
 
Fungsi-fungsi Pengurusan
Fayol menghuraikan dengan lebih lanjut lagi tentang fungsi-fungsi pengurusan yang mengandungi perancangan, penyusunan, pengarahan, penyelarasan, dan pengawalan.
1. Perancangan :
       Perancangan meliputi aktiviti-aktiviti berhubung dengan ramalan tindakan yang akan diambil pada masa 
       hadapan dan penentuan arah haluan organisasi agar ia dapat berkembang dan mencapai 
       matlamat-matlamatnya.
2. Penyusunan :
       Fungsi ini berhubung dengan pembentukan struktur autoriti, tanggung-jawab dan tugas-tugas.
3. Pengarahan :
       Aktiviti ini berkaitan dengan pengarahan kakitangan bawahan, aspek-aspek komunikasi, perlakuan 
       pengurusan, pemberian ganjaran dan penghukuman.
4. Penyelarasan :
       Fungsi penyelarasan berkaitan dengan aktiviti mengabungkan bahagian-bahagian untuk mewujudkan 
       kerjasama bagi mencapai matlamat organisasi.
5. Pengawalan :
       Pengawalan ke atas perjalanan aktiviti organisasi itu penting agar ia tidak terpesong atau lari daripada 
       dasar dan perancangan organisasi. Fungsi pengawalan ini juga meliputi penilaian pencapaian bahagian-
       bahagian dan organisasi keseluruhannya.
 
Prinsip-Prinsip Pengurusan
Fayol telah mencadangkan empat belas prinsip pengurusan yang dapat memberikan panduan kepada pengurus-pengurus tentang pengurusan sesebuah organisasi, tidak kira sama ada organisasi perindustrian, sosial, keagamaan, pertahanan atau kerajaan.
Empat belas prinsip pengurusan yang dikemukakan oleh Fayol adalah:
1. Pembahagian kerja :
        Pembahagian kerja dapat meningkatkan produktiviti kerana pekerja menjalankan tugas yang khusus 
        dan dengan demikian mengurangkan beban dan tanggungjawab pekerja.
2. Autoriti :
        Fayol mentafsirkan autoriti sebagai hak untuk memberi arahan dan sebagai kuasa untuk menarik 
        seseorang supaya menurut arahan itu.
3. Disiplin :
        Asas disiplin ialah menurut arahan dan prosedur serta menghormati per-setujuan yang telah dibuat di 
        antara organisasi dan kakitangannya.
4. Satu perintah :
       Fayol percaya bahawa seseorang pekerja mesti menerima arahan-arahan daripada seorang ketua 
       sahaja. Ini dapat mengelakkan daripada berlakunya kekeliruan dan konflik di dalam penerimaan dan 
       pemberian arahan.
5. Satu arahan :
       Aktiviti yang mempunyai objektif yang sama hendaklah disatukan di dalam satu rancangan dan diurus 
       oleh seorang ketua sahaja.
6. Mengutamakan kepentingan organisasi :
       Kepentingan organisasi hendaklah diutamakan daripada kepentingan peribadi atau individu. Objektif-
       objektif organisasi adalah paling penting daripada objektif individu.
7. Pembayaran upah :
       Pekerja mestilah dibayar dengan bayaran yang sewajarnya. Kerja-sama, sokongan dan ketaatan dapat 
       diperolehi daripada pekerja yang diberi bayaran sewajar dengan perkhidmatan mereka.
8. Pemusatan :
       Walaupun pengurus bertanggungjawab sepenuhnya ke atas organisasi, kakitangan bawahan hendaklah 
       juga diberi kuasa yang cukup untuk menjalankan tugas dengan efektif.
9. Rantai pemerintahan :
        Rantai pemerintahan ini menunjukkan hierarki autoriti bermula dari peringkat atasan hingga ke  
        peringkat bawahan di dalam struktur organisasi. Rantai autoriti ini juga menunjukkan arah aliran 
        komunikasi formal di dalam organisasi.
10. Susunan :
          Fayol menggunakan prinsip susunan material dan sumber manusia yang mana material dan manusia itu 
          hendaklah ditempatkan di tempat yang betul mengikut masa yang tepat.
11. Keseimbangan :
          Pekerja hendaklah diberi layanan dan keadilan yang seimbang untuk melahirkan ketaatan mereka 
          kepada organisasi.
12. Kestabilan personel :
          Firma yang berjaya mempunyai kumpulan pengurus yang stabil. Pihak pengurusan atasan hendaklah 
          mengimplementasikan amalan yang menggalakkan penglibatan kakitangan kepada organisasi.
13. Inisiatif :
          Kakitangan hendaklah diberi kebebasan untuk memajukan dan mengimplementasikan rancangan.
14. Kekitaan :
          Keharmonian di kalangan kakitangan mewujudkan perpaduan dan keteguhan organisasi.


3 ulasan:

  1. terima kasih... perkongsian yang amat bermanfaat..

    BalasPadam
  2. terima kasih nasib baik ada sumber ni kalau tidak jenuh saya nak baca note dlam bi.

    BalasPadam
  3. Nasib baik ada sumber ni..klu x, tak fhm lerr

    BalasPadam