Rabu, 17 April 2013

Teori Keperluan Maslow, Teori Dua Faktor Hertzberg & Teori X dan Y

1) Teori Keperluan Maslow

Mengikut Maslow, setiap individu akan membawa bersama minatnya, sikap dan keinginan ke tempat kerja mereka. Maslow memberikan pandangan bahawa manusia mempunyai lima tahap hieraki keinginan yang cuba dipuaskan.
Rajah : Hierarki Keperluan Maslow

Tahap 1- keinginan fisiologi
Termasuk keinginan terhadap minuman, makanan, udara dan sebagainya.

Tahap 2- keinginan keselamatan/jaminan
Termasuk keinginan terhadap keselamatan dan kedamaian, serta bebas daripada bahaya dan ugutan.

Tahap 3- keinginan sosial
Termasuk keinginan untuk bergaul dan berhubung dengan orang lain, serta melahirkan perasaan kasih sayang.

Tahap 4- penghargaan atau kebanggaan
Termasuk keinginan supaya dihormati, perasaan harga diri dan status (darjat)

Tahap 5- kesedaran diri
Termasuk berbagai keinginan terhadap perkembangan dan kemajuan diri, pencapaian diri serta potensi.


Dari teori Maslow ini dapat dirumuskan kelakuan manusia adalah;

1.      Manusia akan sentiasa cuba memenuhi keinginan pada setiap tahap. Apabila telah dipenuhi kehendak pada tahap 1, mereka akan mencuba memenuhi keinginan pada tahap ke 2 dan seterusnya.

2.      Apabila keinginan telah dipuaskan, ianya tidak lagi mendorong kelakuan manusia. Hanya apabila keinginan masih tidak lagi dipenuhi itulah yang akan mendorong manusia untuk bertindak mendapatkan apa ingin diperolehinya.

 
2) Teori Dua Faktor Hertzberg

Teori yang diperkenalkan oleh Hertzberg ini juga dikenali dengan teori Pendorong atau Kesihatan.

Hasil dari penyelidikan oleh Hertzberg, beliau mengemukakan dua faktor iaitu;
 
a)         Faktor-faktor luar daripada pekerjaan itu sendiri yang sekiranya tidak diadakan atau disediakan oleh organisasi, maka akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pekerja-pekerja. Sekiranya faktor itu disediakan, ia tidak semestinya mendorong pekerja-pekerja untuk bekerja dengan penuh motivasi. Faktor-faktor ini  dinamakan faktor kesihatan termasuklah perkara-perkara berikut;
 
i)        jaminan kerja
ii)      upah
iii)    keadaan tempat kerja
iv)    status
v)      dasar syarikat
vi)    hubungan ketua dan subordinat
vii)  lain-lain faedah atau kemudahan

b)     Faktor-faktor yang sekiranya wujud akan dapat melahirkan motivasi kepada pekerja-pekerja  yang mana akan dapat meningkatkan prestasi kerja yang baik. Faktor ini dikenali dengan faktor pendorong atau pemuas. Faktor ini termasuklah;

i.        penghargaan kenaikan pangkat atau prestasi cemerlang
ii.      pencapaian dalam satu-satu tugas
iii.    tugas yang menunjukkan kemahiran serta kepakaran
iv.    tanggungjawab sepenuhnya dalam tugas

Teori ini boleh diterima oleh ramai pengurus dalam berbagai organisasi, di mana faktor-faktor pendorong ini cuba memotivasi kelakuan manusia membantu mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh organisasi.

    Walaubagaimanapun hasil yang didapati dari kedua-dua teori ini bukanlah satu-satunya rangka untuk memahami kelakuan yang bermotivasi di dalam organisasi. Manusia mempunyai keinginan yang berlainan dan terdapat pelbagai lagi faktor kerja yang dapat memberikan tingkat kepuasan kepada individu.

 
3) Teori X dan Teori Y

Douglas Mc Gregor membuat andaian mengenai manusia dan menamakannya sebagai Teori X dan 
Teori Y.

Andaian Teori X
 
1. Kebanyakkan manusia semulajadi tidak suka bekerja dan cuba mengelakkan diri daripada bekerja.
2.  Mereka mesti diarah , dipaksa, dikawal dan diugut supaya bekerja.
3. Tidak suka memegang tanggungjawab, mempunyai minat yang rendah  dan mahukan jaminan keselamatan.

Andaian Teori Y

1.     Bekerja dengan cara fizikal dan mental di dalam menjalankan tugas secara semulajadi.
2.   Kawalan luaran dan ugutan bukan merupakan satu cara manusia bekerja kearah mencapai objektif. 
     Manusia akan berusaha untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan.
3.   Kewajipan kepada objektif merupakan fungsi ganjaran berdasarkan pencapaian.
4.   Kebanyakkan manusia mempelajari bukan sahaja untuk menerima tetapi juga mencari tanggungjawab.
5.   Keupayaan menggunakan imaginasi, kreativiti dan kemahiran untuk menyelesaikan masalah organisasi.
6.  Di dalam keadaan corak hidup industri yang moden, potensi di peringkat intelek kebanyakkan manusia biasanya tidak digunakan sepenuhnya. Ianya bermaksud daya intelek manusia tidak digunakan sepenuhnya kerana banyak peralatan-peralatan masakini yang membantu kerja-kerja mereka.

Teori Pengurusan Saintifik dan Fungsi & Prinsip Pengurusan

TEORI PENGURUSAN SAINTIFIK (Frederick Taylor)

 

Frederick Taylor mengeluarkan prinsip pengurusan saintifik seperti berikut:
  1. Penentuan pergerakan: Membina kaedah saintifik dengan menentukan pergerakan dan perjalanan kerja yang dijalankan supaya lebih efisien. Dengan penentuan ini, kerja dapat disiapkan dengan lebih cepat dan dengan peratusan atau kadar yang lebih tinggi.
  2. Pengkhususan kerja: Frederick Taylor telah memikirkan tentang pentingnya seorang pakar di setiap bahagian. Misalnya, seorang mandur (sebagai ketua) dikehendaki bertanggungjawab di dalam bahagian pembaikan mesin, seorang di bahagian perjalanan mesin, seorang di bahagian pemeriksaan dan lain-lain. Dengan cara yang demikian, pekerja dapat memahirkan diri dalam bidang yang khusus.
  3. Perancangan dan penjadualan yang rapi: Perancangan dan penjadualan aktiviti organisasi perlu untuk memastikan penggunaan sumber manusia dan bahan pada tempat dan masa yang sesuai.
  4. Pemilihan dan pengambilan kakitangan yang rapi: Frederick Taylor percaya bahawa pemilihan dan pengambilan kakitangan perlu dibuat dengan teliti untuk menjamin kakitangan yang diambil itu dapat menjalankan tugas seperti yang dikehendaki. Di dalam proses pengambilan ini, ujian tertentu hendaklah diadakan untuk menguji kebolehan dan keupayaan seseorang itu. Proses pemilihan yang teliti beserta dengan program latihan tertentu dapat menjamin prestasi yang tinggi di dalam menjalankan tugas.
  5. Insentif upah: Program upah yang diadakan bertujuan membayar upah mengikut jenis kerja yang dibuat. Ini bermakna program upah itu menyediakan kadar upah mengikut jenis kerja. Bonus melalui skim perangsang juga diberikan kepada pekerja yang dapat menyiapkan kerja lebih awal dari jangka masa yang ditetapkan.
Pandangan Taylor tentang motivasi pekerja telah memberi pengaruh besar sepanjang abad hingga ke hari ini. Kepercayaan Taylor bahawa manusia adalah rasional dan akan membuat pilihan ekonomi berdasarkan tahap ganjaran kewangan telah membawa kepada perancangan sistem bayaran dimana jenis usaha yang diberi adalah berkait rapat dengan kadar ganjaran yang ditawarkan. Oleh itu, terdapat kritikan yang kuat terhadap teori Taylor yang dianggap melayan manusia seperti mesin dan menganggap bahawa para pekerja dipenuhi oleh wang saja. 


HENRI FAYOL (Prinsip & Fungsi Pengurusan)

 
Henri Fayol (1841-1925)  telah diberi gelaran "Bapa Pemikiran Pengurusan".
Pertama, Fayol telah membezakan antara kemahiran teknikal dengan kemahiran pengurusan. Keduanya, beliau telah mengenal pasti fungsi-fungsi pengurusan yang khusus dan ketiganya, beliau telah mencadangkan empat belas prinsip pengurusan.
 
Kemahiran Teknik dan Kemahiran Pengurusan
Fayol membahagikan pengurusan kepada enam kumpulan:
1. Teknik: Pengeluaran dan pembuatan.
2. Komersial: Pembelian, jualan dan pertukaran (pemasaran).
3. Kewangan: Penggunaan modal dengan optimum.
4. Keselamatan: Melindungi harta dan manusia.
5. Perakaunan: Kos, kunci kira-kira, statistik, mengira stok.
6. Mengurus: Perancangan, penyusunan, pengarahan, penyelarasan, dan kawalan.
 
Fungsi-fungsi Pengurusan
Fayol menghuraikan dengan lebih lanjut lagi tentang fungsi-fungsi pengurusan yang mengandungi perancangan, penyusunan, pengarahan, penyelarasan, dan pengawalan.
1. Perancangan :
       Perancangan meliputi aktiviti-aktiviti berhubung dengan ramalan tindakan yang akan diambil pada masa 
       hadapan dan penentuan arah haluan organisasi agar ia dapat berkembang dan mencapai 
       matlamat-matlamatnya.
2. Penyusunan :
       Fungsi ini berhubung dengan pembentukan struktur autoriti, tanggung-jawab dan tugas-tugas.
3. Pengarahan :
       Aktiviti ini berkaitan dengan pengarahan kakitangan bawahan, aspek-aspek komunikasi, perlakuan 
       pengurusan, pemberian ganjaran dan penghukuman.
4. Penyelarasan :
       Fungsi penyelarasan berkaitan dengan aktiviti mengabungkan bahagian-bahagian untuk mewujudkan 
       kerjasama bagi mencapai matlamat organisasi.
5. Pengawalan :
       Pengawalan ke atas perjalanan aktiviti organisasi itu penting agar ia tidak terpesong atau lari daripada 
       dasar dan perancangan organisasi. Fungsi pengawalan ini juga meliputi penilaian pencapaian bahagian-
       bahagian dan organisasi keseluruhannya.
 
Prinsip-Prinsip Pengurusan
Fayol telah mencadangkan empat belas prinsip pengurusan yang dapat memberikan panduan kepada pengurus-pengurus tentang pengurusan sesebuah organisasi, tidak kira sama ada organisasi perindustrian, sosial, keagamaan, pertahanan atau kerajaan.
Empat belas prinsip pengurusan yang dikemukakan oleh Fayol adalah:
1. Pembahagian kerja :
        Pembahagian kerja dapat meningkatkan produktiviti kerana pekerja menjalankan tugas yang khusus 
        dan dengan demikian mengurangkan beban dan tanggungjawab pekerja.
2. Autoriti :
        Fayol mentafsirkan autoriti sebagai hak untuk memberi arahan dan sebagai kuasa untuk menarik 
        seseorang supaya menurut arahan itu.
3. Disiplin :
        Asas disiplin ialah menurut arahan dan prosedur serta menghormati per-setujuan yang telah dibuat di 
        antara organisasi dan kakitangannya.
4. Satu perintah :
       Fayol percaya bahawa seseorang pekerja mesti menerima arahan-arahan daripada seorang ketua 
       sahaja. Ini dapat mengelakkan daripada berlakunya kekeliruan dan konflik di dalam penerimaan dan 
       pemberian arahan.
5. Satu arahan :
       Aktiviti yang mempunyai objektif yang sama hendaklah disatukan di dalam satu rancangan dan diurus 
       oleh seorang ketua sahaja.
6. Mengutamakan kepentingan organisasi :
       Kepentingan organisasi hendaklah diutamakan daripada kepentingan peribadi atau individu. Objektif-
       objektif organisasi adalah paling penting daripada objektif individu.
7. Pembayaran upah :
       Pekerja mestilah dibayar dengan bayaran yang sewajarnya. Kerja-sama, sokongan dan ketaatan dapat 
       diperolehi daripada pekerja yang diberi bayaran sewajar dengan perkhidmatan mereka.
8. Pemusatan :
       Walaupun pengurus bertanggungjawab sepenuhnya ke atas organisasi, kakitangan bawahan hendaklah 
       juga diberi kuasa yang cukup untuk menjalankan tugas dengan efektif.
9. Rantai pemerintahan :
        Rantai pemerintahan ini menunjukkan hierarki autoriti bermula dari peringkat atasan hingga ke  
        peringkat bawahan di dalam struktur organisasi. Rantai autoriti ini juga menunjukkan arah aliran 
        komunikasi formal di dalam organisasi.
10. Susunan :
          Fayol menggunakan prinsip susunan material dan sumber manusia yang mana material dan manusia itu 
          hendaklah ditempatkan di tempat yang betul mengikut masa yang tepat.
11. Keseimbangan :
          Pekerja hendaklah diberi layanan dan keadilan yang seimbang untuk melahirkan ketaatan mereka 
          kepada organisasi.
12. Kestabilan personel :
          Firma yang berjaya mempunyai kumpulan pengurus yang stabil. Pihak pengurusan atasan hendaklah 
          mengimplementasikan amalan yang menggalakkan penglibatan kakitangan kepada organisasi.
13. Inisiatif :
          Kakitangan hendaklah diberi kebebasan untuk memajukan dan mengimplementasikan rancangan.
14. Kekitaan :
          Keharmonian di kalangan kakitangan mewujudkan perpaduan dan keteguhan organisasi.


MODEL TINGKAP JOHARI


 

Ia adalah satu teori personaliti yang diasaskan oleh Joseph Luft dan Harrington Ingham. Teori ini menunjukkan sifat-sifat diri anda apabila anda berinteraksi dengan orang lain.

Tingkap 1 (BEBAS)
Ia mewakili diri anda yang diperlihatkan kepada orang lain seperti hobi, keluarga, tempat tinggal dan sebagainya. Maklumat-maklumat yang dikongsi dengan orang lain ini tidak mengancam atau membahayakan anda.

Tingkap 2 (TERSEMBUNYI)
Ia mewakili sifat diri anda yang anda tidak mahu berkongsi dengan orang lain. Contohnya rahsia anda atau perasaan cinta terhadap orang lain. Anda akan berasa terancam atau cemas bila rahsia anda terbongkar.

Tingkap 3 (TIDAK DISEDARI)
Ia mewakili diri sendiri yang anda tidak ketahui. Contohnya nafas anda berbau, suara anda, gaya anda berjalan dari belakang dan sebagainya. Anda tidak dapat menilai diri sendiri tetapi orang lain boleh menilai anda.

Tingkap 4 (TIDAK DIKETAHUI LANGSUNG)
Ia mewakili sifat diri yang anda tidak ketahui. Begitu juga dengan orang lain. Ia terletak di bawah minda bawah sedar.

Perubahan pada satu tingkap akan mempengaruhi tingkap yang lain. 

Teori Max Weber






Apakah pandangan anda mengenai Teori Weber? 
Nyatakan kekuatan dan kelemahannya dalam pengurusan sekolah?
 

     Gambar di atas menunjukkan gambar Max Weber, seorang ahli sosiologi yang mengasaskan
Teori Birokrasi. 

     Organisasi merupakan satu unit sosial yang dibentuk untuk mencapai matlamat tertentu. Sekolah juga merupakan satu contoh organisasi. Di dalam organisasi, kita tidak boleh lari daripada mengaplikasikan  teori-teori organisasi yang ada dan salah satu teori yang paling berpengaruh dalam bidang organisasi dan pentadbiran ialah Teori Birokrasi.

     Dari segi konsep, Weber merujuk birokrasi sebagai satu jenis struktur pentadbiran yang dibangunkan dalam satu pertubuhan dimana adanya autoriti “rasional-sah” (Scott, 2003). Weber menerangkan jenis birokrasi yang ideal dari sudut yang positif, beliau menganggap organisasi birokrasi adalah organisasi yang lebih rasional dan lebih cekap. Jenis birokrasi yang ideal termasuklah tidak ada jenis autoriti atau perhubungan yang lain, tidak mempunyai persahabatan dan permusuhan, tidak mempunyai komplot, dan tidak mempunyai badan jawatankuasa. Sesuatu birokrasi yang dikatakan ideal hanya wujud dimana individu memberi dan menerima arahan sebagai satu peraturan dalam sistem rasional.

     Terdapat tiga jenis autoriti yang dikenalpasti oleh Weber iaitu autoriti tradisional, autoriti “rasional-sah” dan autoriti karismatik :-

     a)  Autoriti tradisional (Traditional authority) iaitu kepercayaan dalam tradisi yang telah diamalkan sejak berzaman-zaman lamanya.  Ini adalah berlandaskan perwarisan daripada autoriti terdahulu, kemudian orang yang memegang autoriti tersebut mempunyai kuasa dan memberi arahan manakala orang bawahan pula akan menerima sahaja perintah atasan dengan alasan bahawa perkara yang diperintahkan oleh orang atasan itu merupakan cara untuk menyelesaikan semua masalah. 

     b)  Autoriti rasional-sah (Rational-legal authority) iaitu kepercayaan dalam “legaliti” sebagai corak dalam peraturan normatif dan mengangkat kebenaran dalam autoriti seperti isu-isu berkenaan arahan. Autoriti “rasional-sah” adalah berdasarkan sistem peraturan yang menghormati arahan, oleh sebab itulah sistem ini disebutkan mempunyai kerasionalan. Perintah atau arahan harus dipatuhi selagi mana mereka konsisten dengan peraturan tersebut.

     c) Autoriti karismatik (charismatic authority) pula merujuk kepada kepatuhan kepada sifat-sifat yang ada pada seseorang individu yang boleh dicontohi. Individu yang memegang autoriti seperti ini akan menunjukkan ciri-ciri pemerintahan dalam corak normatif ataupun peraturan. Autoriti ini juga melibatkan kualiti luar biasa yang ada pada pemimpin dimana arahan tidak terikat kepada penghormatan dan kesetiaan.


     Objektif utama teori birokrasi ialah untuk menjadikan sesebuah organisasi menjadi lebih cekap dan segala urusan pekerjaan di dalam organisasi dapat berjalan dengan baik dan lancar. Tujuan diwujudkan sistem hierarki dalam organisasi birokrasi pula adalah untuk membina sistem rantaian arahan yang tersusun.

     Pada pendapat saya, teori Weber ini adalah baik diamalkan di mana-mana organisasi mahupun di sekolah. Teori ini membuatkan sistem organisasi di sekolah menjadi lebih sistematik dan efisyen. Sistem hierarki yang dilaksanakan membantu pentadbir membahagikan tugas-tugas orang bawahannya seperti Guru Penolong Kanan, guru-guru, kerani dan sebagainya mengikut tugas masing-masing dan tidak berlaku persilangan/pertindihan tugas. Selain itu juga, teori ini dapat mengukuhkan tanggungjawab masing-masing terhadap bidang tugas sendiri. Walaubagaimanapun, teori ini cenderung kepada amalan pengurusan berbentuk pemusatan kuasa iaitu autoriti atau kuasa dalam sesebuah organisasi terletak didalam tangan satu golongan kecil.autoriti atau kuasa dalam sesebuah organisasi terletak didalam tangan satu golongan kecil. Golongan ini biasanya terdiri daripada Pengetua dan Penolong Kanan. Kebiasaannya, arahan mereka perlu didengar dan dilaksanakan tanpa sebarang bantahan.